Samsung Malaysia lancar Galaxy Note8
Samsung Malaysia lancar Galaxy Note8
Telefon pintar siri Galaxy Note itu merupakan kesinambungan daripada Note7 yang dilancarkan pada tahun lepas, namun terpaksa ditarik balik selepas terdapat masalah pada bahagian baterinya.
Samsung tampil bersama beberapa pembaharuan dalam Galaxy Note8 dengan menawarkan reka bentuk lebih menarik termasuk fungsi S Pen yang dipertingkatkan.
Ketua Perniagaan IM, SME KM Liew berkata, Galaxy Note8 tampil dengan dwi-kamera yang terbaik dalam kelasnya dan ia merupakan peranti berfungsi mengikut kaedah kehidupan harian.
“Ia memiliki reka bentuk paparan inovatif dan teknologi terkini serta pelbagai aksesori yang berguna,” katanya ketika majlis pelancaran Galaxy Note8 di pusat beli-belah Pavilion di sini hari ini.
Ujarnya, Galaxy Note8 memiliki paparan lebih besar berbanding siri Note terdahulu, namun ia kekal nipis untuk lebih selesa ketika dipegang dengan sebelah tangan.
“Ia (Note8) memiliki paparan Infiniti bersaiz 6.3 inci Quad HD Super AMOLED membolehkan pengguna melihat tanpa perlu menggerakkan paparan teks lebih kerap,” katanya.
Tambahnya, Note8 turut memiliki ciri App Air untuk membolehkan pengguna membuat aplikasi sendiri pada panel Edge dan dengan serentak melancar dua aplikasi dengan mudah.
Katanya, S Pen yang dipertingkatkan akan memberikan pengalaman baharu untuk menulis, melukis dan berinteraksi dengan rakan-rakan.
“Ia memiliki titik lebih halus, sensitivi tekanan lebih baik serta ciri-ciri yang membolehkan pengguna menzahirkan diri mereka yang tidak mampu ditawarkan oleh mana-mana peranti pintar lain,” katanya.
Beralih ke bahagian kamera, beliau berkata, Galaxy Note8 dijana lensa dwi-kamera bersaiz 12 mega piksel (MP) dengan Pengimbang Imej Optikal (OIS) pada kedua-dua lensa luas dan telefoto.
“Kamera hadapan pula memiliki saiz 8MP fokus auto F1.7,” tambahnya.
Paling menarik katanya, kedua-dua lensa itu mampu mengambil dua gambar secara serentak dan menyimpan kedua-dua imej.
Ciri-ciri utama lain yang dibawa Galaxy Note8 termasuk, kalis air dan habuk (IP68) termasuk S Pen serta fungsi pengecasan tanpa wayar pantas.
“Ia juga dibekalkan dengan memori terbina 64GB dengan 6GB RAM menggunakan cip pemprosesan 10nm berserta kuasa bateri 3,300 mAh,” ujarnya.
Galaxy Note8 ditawarkan pada harga RM3,999 termasuk GST dan boleh didapati dengan tiga pilihan warna iaitu Midnight Black, Orchid Gray dan Maple Gold. – K! ONLINE
Post a Comment