Header Ads

Amaran Keras Dari Facebook

Amaran Keras Dari Facebook
BANGKOK – Facebook Thailand mungkin berdepan tindakan undang-undang pada minggu depan selepas pihak berkuasa Thailand memberi amaran kepada syarikat Facebook Inc supaya memadamkan kandungan yang disifatkan mengancam keselamatan atau me­langgar undang-undang lese majeste, kata pihak berkuasa telekomunikasi semalam.
Kerajaan tentera Thailand meningkatkan penapisan online terutamanya kandungan yang dianggap menghina keluarga diraja sejak merampas kuasa dalam tahun 2014.
Suruhanjaya Penyiaran dan Telekomunikasi Nasional (NBTC) berkata, Facebook gagal memadamkan 131 daripada 309 alamat web dalam platformnya yang dianggap mengancam keselamatan atau melanggar undang-undang lese majeste.
Mereka yang menghina, mengugut atau memfitnah raja, permaisuri, pewaris takhta diraja Thailand dianggap melakukan jenayah di bawah undang-undang berkenaan.
Mahkamah Thailand telah mengarahkan sejumlah 6,900 alamat web ber­kenaan dipadamkan sejak tahun 2015.
Ketua Setiausaha NBTC, Takorn Tantasith berkata, beliau memberikan tarikh akhir hingga Selasa depan untuk Facebook mema­damkan semua 131 alamat web tersebut.
“Sekiranya ingkar, tindakan perlu diambil ke atas Facebook Thailand.
“Mereka (Facebook Thailand) memberi alasan bahawa mereka tidak terlibat dalam tindakan membuang kandungan berkenaan tetapi mereka masih beroperasi di sini,” katanya kepada agensi berita Reuters.
Takorn berkata lagi, Kementerian Ekonomi Digital akan mengemukakan aduan kepada polis pada minggu depan untuk mendakwa Facebook Thailand di bawah Akta Jenayah Komputer dan peraturan kementerian perdagangan.
Beliau juga tidak menolak untuk mendapatkan waran geledah terhadap Facebook jika mengingkari arahan itu . – REUTERS
sumber:Kosmo

No comments